Pangsapuri kos rendah di Taman Sg Besi Indah memerlukan suatu proses pemulihan secara berperingkat agar penghuni-penghuni di dua blok bangunan berkenaan mempunyai persekitaran yang lebih baik dan bersih.
Pelbagai permasalahan yang dihadapi penduduk-penduduk pangsapuri di banyak tempat terutamanya yang kos rendah juga dihadapi penduduk di sini. Bayaran untuk penyelenggaraan bangunan banyak tertunggak kerana ramai yang tidak membayarnya. Ini menyebabkan hutang telah mencecah ratusan ribu dan Lembaga Pengurusan Bersama (JMB) pula tidak berfungsi.
Pangsapuri ini yang sudah menjangkau duapuluh tahun nampak sayu kerana cat sudah lama pudar dan sampah pula dibuang secara terbuka. Bumbung telah ditumbuhi pohon-pohon kecil dan sudah bocor. Tangga yang digunakan untuk naik ke tingkat atas dalam bangunan lima tingkat ini ada juga yang telah rosak.
Sebagai usaha untuk memulih dan menyerikan dua blok pangsapuri ini, ahli Majlis MPSJ Loka Ng Sai Kai telah memulakan langkah dengan menjalankan beberapa lawatan ke pangsapuri ini dan berjumpa dengan pihak penduduk untuk memahami masalah yang dihadapi mereka.
Pihak Alam Flora telah diminta membersihkan sampah longgok serta memberi pantauan yang lebih kerap terhadap kawasan ini manakala pelbagai jabatan di MPSJ telah dimaklumkan untuk mengambil tindakan yang bersesuaian.
Permohonan juga telah dipanjangkan kepada pihak kerajaan negeri Selangor untuk menggunakan Tabung Pemulihan Rumah Kos Rendah untuk membantu pengsapuri ini seperti mengecat semula dan juga membaiki bumbung yang rosak. - JKP24MPSJ
No comments:
Post a Comment